Thursday 17 May 2012

Sambutan Hari Guru 2012

Pada hari Khamis, 17 Mei 2012 telah berlangsung Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Bertemakan "Guru Di mempelai", majlis telah bermula seawal jam 7.30 pagi. Semua guru-guru SK Permatang Bertam telah diarak dengan iringan bunga manggar dan paluan kompang oleh murid-murid bermula dari pintu masuk hingga dewan sekolah. Tidak cukup dengan itu, guru-guru juga telah direnjis dengan bunga rampai dan haruman air mawar.
Seterusnya, guru-guru dan murid-murid dihidangkan dengan beberapa persembahan istimewa daripada murid-murid yang berbakat. Antaranya ialah persembahan nasyid, biola dan keyboard dan koir. Kemudian, giliran guru-guru pula mengambil tempat di pentas utama melalui dendangan lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru 2012. Ia disusuli dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Guru Besar. Untuk menambahkan kemeriahan majlis, upacara pemotongan kek untuk menyambut hari lahir beberapa orang guru turut dilangsungkan.
Seterusnya, acara sukaneka guru dilangsungkan selepas rehat dengan guru-guru dan kakitangan mengambil bahagian dalam acara "boling istimewa". Kesudahannya, kumpulan yang diketuai oleh Guru Besar berjaya menjadi Johan.
Sambutan berterusan dengan upacara penyampaian hadiah-hadiah yang berakhir pada jam 1.30 petang.
Sememangnya, sambutan Hari Guru 2012 ini akan meninggalkan kesan dan memberi makna yang mendalam kepada guru-guru SKPB. Semoga, tema " Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" mampu menjadi pemangkin kepada guru-guru untuk menjana transformasi tersendiri bagi membentuk kecemerlangan pelajar-pelajar SKPB.

Selamat Hari Guru






 












Monday 14 May 2012

Perkhemahan Perdana

Pada 12 Mei 2012 - 14 Mei 2012 telah berlangsung Perkhemahan Perdana Unit Beruniform 2012. Ia melibatkan 4 pasukan unit beruniform iaitu Tunas Kadet Remaja Sekolah, Pertubuhan Pengakap, Pasukan Bulan Sabit Merah dan Persatuan Puteri Islam yang terdiri daripada seramai 55 orang peserta. 
Terdapat pelbagai aktiviti, cabaran dan pertandingan yang telah diatur untuk menguji para peserta perkhemahan. Cuaca yang tidak menentu juga menjadikan cabaran menjadi semakin getir untuk para peserta.












Monday 7 May 2012

Karnival Bola Sepak Anjuran PIBG SK Hashim Awang

Pada 5 dan 6 Mei yang lepas, SK Permatang Bertam telah menyertai Karnival Bola Sepak 7 Sebelah anjuran PIBG SK Hashim Awang. Dua pasukan yang terdiri daripada pasukan utama sekolah dan pasukan pelapis telah dihantar untuk bertanding.
Pasukan pelapis yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 3 dan 4 telah menunjukkan permainan yang baik walaupun gagal memperolehi sebarang kemenangan di dalam Kumpulan C.
Manakala, pasukan utama sekolah telah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang perlawanan peringkat kumpulan. Kecemerlangan tersebut diteruskan sehingga peringkat separuh akhir. Pada perlawanan akhir pula, nasib tidak menyebelahi pasukan SK Permatang Bertam apabila terpaksa tunduk kepada SK Pokok Sena dengan 1-0. Akhirnya, pasukan sekolah terpaksa berpuas hati dengan gelaran Naib Johan sahaja.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan pasukan utama sekolah sepanjang kejohanan tersebut :

Peringkat kumpulan :
1. SK Bertam Indah   - 2-0
2. SK Kepala Batas   - 2-2
3. SK Hashim Awang - 1-0

Suku Akhir
SK Taman Senangan  - 2-0

Separuh Akhir
SK Kg.To' Bedor      - 2-1 (pen)

Akhir
SK Pokok Sena        - 0-1