Wednesday, 8 August 2012

Pelancaran Ihya' Ramadhan


Pada 22 Julai 2012 yang lalu, warga SKPB telah menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia dengan bersama-sama menyertai majlis pelancaran Ihya’ Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan, pihak sekolah dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam telah menyusun pelbagai program sebagai pengisian bulan yang mulia ini.
Pada majlis pelancaran tersebut, warga sekolah diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Tn.Hj. Ismail Saad, salah seorang warga SKPB. Kemudian, majlis dihidangkan dengan persembahan qasidah oleh kumpulan qasidah Al-Adni yang dianggotai oleh murid-murid Tahun 5 , 4 dan 3.
Akhir sekali, pelancaran Ihya’ Ramadhan ini telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar.








Saturday, 21 July 2012

Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan


Pada hari Jumaat, 20 Julai 2012 telah berlangsung Majlis Pelancaran Bulan Sambutan Kemerdekaan 2012. Majlis yang berlangsung di Dewan Al-Khawarizmi SK Permatang Bertam telah dimulai dengan bacaan Yasin.
Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada guru- guru kelas sebagai simbolik pelancaran .
Kemudian, para pelajar dan guru telah mendengar kisah- kisah sebelum kemerdekaan yang berkisar mengenai penderitaan , perjuangan dan susah-payah rakyat zaman dahulu dalam usaha menuntut kemerdekaan. Kisah-kisah ini telah disampaikan oleh tetamu jemputan iaitu Dato' Jamaludin Omar.
Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah nyanyian lagu-lagu patriotik oleh para pelajar dan guru. Nyanyian penuh bersemangat oleh warga-warga SKPB telah menyebabkan seluruh dewan bergema dengan semangat patriotik anak bangsa yang cintakan negara Malaysia.








Kejohanan Boling Padang MSSPP Peringkat Negeri Pulau Pinang

Pada 17 & 18 Julai 2012, telah berlangsung Kejohanan Boling Padang MSSPP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Bertam.
Menerima jemputan saat akhir, SK Permatang Bertam telah menghantar peserta-peserta yang terdiri daripada pelajar Tahun 4 dan 3 untuk memberikan pendedahan kepada mereka.
Walaupun tidak diletakkan sebarang harapan yang tinggi, 3 pasukan dari SKPB telah berjaya melangkah ke peringkat suku akhir. Pair lelaki, Triple lelaki dan Triple perempuan telah membuktikan bahawa usia bukanlah segalanya apabila berjaya mengalahkan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman. 
Tahniah diucapkan kepada para pemain, semoga program pembangunan sukan ini akan berjalan dengan lebih aktif lagi pada tahun hadapan.