Thursday 17 May 2012

Sambutan Hari Guru 2012

Pada hari Khamis, 17 Mei 2012 telah berlangsung Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Bertemakan "Guru Di mempelai", majlis telah bermula seawal jam 7.30 pagi. Semua guru-guru SK Permatang Bertam telah diarak dengan iringan bunga manggar dan paluan kompang oleh murid-murid bermula dari pintu masuk hingga dewan sekolah. Tidak cukup dengan itu, guru-guru juga telah direnjis dengan bunga rampai dan haruman air mawar.
Seterusnya, guru-guru dan murid-murid dihidangkan dengan beberapa persembahan istimewa daripada murid-murid yang berbakat. Antaranya ialah persembahan nasyid, biola dan keyboard dan koir. Kemudian, giliran guru-guru pula mengambil tempat di pentas utama melalui dendangan lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru 2012. Ia disusuli dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Guru Besar. Untuk menambahkan kemeriahan majlis, upacara pemotongan kek untuk menyambut hari lahir beberapa orang guru turut dilangsungkan.
Seterusnya, acara sukaneka guru dilangsungkan selepas rehat dengan guru-guru dan kakitangan mengambil bahagian dalam acara "boling istimewa". Kesudahannya, kumpulan yang diketuai oleh Guru Besar berjaya menjadi Johan.
Sambutan berterusan dengan upacara penyampaian hadiah-hadiah yang berakhir pada jam 1.30 petang.
Sememangnya, sambutan Hari Guru 2012 ini akan meninggalkan kesan dan memberi makna yang mendalam kepada guru-guru SKPB. Semoga, tema " Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" mampu menjadi pemangkin kepada guru-guru untuk menjana transformasi tersendiri bagi membentuk kecemerlangan pelajar-pelajar SKPB.

Selamat Hari Guru